MENENTANG KEZALIMAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Program kebajikan & pilihan raya)

Rang Undang-Undang Jenayah Syariah Terengganu Dari Perspektif Wanita

Oleh Dr Siti Mariah Mahmud
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Draf cadangan Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu yang di bentangkan di Kuala Terengganu pada 12 Mei lalu telah dijadikan isu kontroversi dan telah memberi peluru kepada pendokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) menghentam PAS umumnya dan Kerajaan PAS Terengganu khasnya.

Penganjur Seminar Hudud di Terengganu baru-baru ini menerima banyak maklum balas daripada peserta bengkel yang mewakili pelbagai organisasi politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan. Wakil kerajaan Terengganu, Ustaz Harun Taib memberi penjelasan di akhir seminar dan menyatakan kesediaan pihaknya menyemak dan mengkaji bahagian-bahagian yang kurang memuaskan sebagaimana yang dibangkitkan para peserta seminar.

Di antara enakmen yang dicadangkan mendapat tentangan kaum wanita dan juga peserta lelaki yang hadir pada seminar tersebut ialah perkara 9. Perkara inilah yang sekarang menjadi 'peluru ampuh' kepada Dato' Shahrizat dan sesetengah NGO mengecam PAS dan mempengaruhi wanita untuk menolak PAS. Perkara 9, di bawah tajuk kesalahan yang dikira Qazaf, berbunyi "Seorang wanita yang mengadu dirinya dirogol dengan tiada bukti yang nyata atau tiada sebarang qarinah yang menyokong dakwaannya telah melakukan qazaf". Perkara 9 tidak pula diikuti oleh sebarang perincian untuk menerangkan dan mengukuhkannya. Maka para pembaca berhak membuat andaian dan tafsiran mereka terhadap perkara 9.

Di dalam seminar tersebut, kumpulan wanita yang semuanya diletakkan dalam satu bengkel sebulat suara meminta supaya perkara 9 ini digugurkan terus daripada draf cadangan tersebut kerana terdapat banyak kelemahan dan boleh (dan sememangnya telah ) disalah tafsirkan. Penggubal enakmen sudah tentu berniat dan bertujuan baik tetapi gagal menterjemahkan niat tersebut ke dalam bentuk perkataan dan bahasa yang mencerminkan falsafah disebaliknya.

Kenapa wanita membantah:

1. Bukti nyata yang diminta daripada mangsa rogol tidak diperjelaskan. Ramai wanita menganggap piawai bukti adalah seperti dalam hukum hudud untuk kes zina iaitu 4 orang saksi (lelaki). Ini adalah sesuatu yang mustahil.

Walaupun penjelasan telah diberikan secara lisan yang bukti tidak semestinya merupakan saksi tetapi apa saja perkara yang boleh dijadikan bukti boleh diterima sebagai bukti. Namun penjelasan secara bertulis tidak diberi megenai tahap pembuktian yang diperlukan.

2. Mangsa rogol menuduh perogol dan bukan menuduh seseorang lelaki berzina dengan wanita lain. (Sungguhpun, rogol sebenarnya satu perzinaan yang berlaku secara paksa dan tanpa rela wanita tersebut, bagi kaum wanita dan pendapat semasa zina dan rogol perlu dibezakan.). Sepatutnya ia tidak diklasifikasikan di bawah kesalahan qazaf. Di dalam kesalahan Qazaf yang menuduh tidak terlibat di dalam perlakuan zina tersebut. Jika benar perkara 9 hendak membantu wanita tampil kehadapan membuat pengaduan, ayatnya patut diganti seperti berikut: "Wanita yang mengadu dirogol kepada pihak berkuasa tidak akan di didakwa melakukan kesalahan qazaf."

3. Beban membawa bukti tidak patut diletakkan ke atas bahu mangsa yang telah melalui troma psikologikal dan fizikal. Beban pembuktian adalah di atas pihak berkuasa yang menyiasat kes dan di atas pendakwa. Bayangkan jika mangsa rogol adalah kanak-kanak dan wanita yang tidak berdaya (dalam apa segi sekali pun), bagaimana mungkin mereka membawa bukti atau qarinah.

Pihak penggubal mengatakan perkara ini untuk menghalang perbuatan sesetengah wanita yang mengadu dirogol setelah pasangannya gagal menunaikan janji atau meninggalkannya setelah berlaku perzinaan di antara mereka dan juga menghalang wanita yang berniat menjatuhkan maruah seseorang lelaki kerana tujuan tertentu daripada membuat tuduhan palsu.

Alasan ini tidak dapat diterima oleh kebanyakan wanita kerana demi melindungi `maruah' segelintir lelaki, ramai mangsa rogol akan terperangkap dengan perkara 9 dan tidak akan berani untuk membuat aduan kerana takut dengan kesalahan Qazaf.

Pembentang draf cadangan juga menegaskan yang aduan rogol patut dibuat dalam jangkamasa yang munasabah selepas kejadian dan tidak mengadu rogol hanya apabila ia mendapati dirinya hamil atau menunggu waktu yang lama untuk mebuat pengaduan. Sememangnyalah secara ideal, aduan patut dibuat secepat mungkin tetapi ia tidak berlaku dalam banyak kes rogol kerana banyak faktor psikologi dan persekitaran yang menghalang mangsa daripada membuat aduan.

Perspektif mangsa rogol

1. Kalau boleh mangsa rogol (dan juga ahli keluarga terdekat) tidak mahu orang tahu yang dia dirogol kerana stigma stereotaip ke atas mangsa akan melekat sepanjang hayat. Anggapan masyarakat yang mangsa rogol `minta' dirogol masih menebal dalam masyarakat. Stigma ini akan menghancurkan peluang mangsa untuk meneruskan kehidupan dengan imej bersih dan mendapat suami dari kalangan orang `baik-baik'.

2. Mangsa sentiasa mengharapkan tiada siapa yang tahu dan kalau nasibnya baik jika ia tidak hamil, rahsia ini akan terpendam sehingga akhir hayatnya.

3. Imej keluarga juga hendak dijaga terutamanya jika ia daripada keluarga yang dihormati masyarakat (bapanya ustaz, imam, guru, yang berhormat dll).

4. Jika perogolnya dari kalangan keluarga dan orang yang dihormati, mangsa menanggung risiko tidak dipercayai dan ditolak oleh keluarganya sendiri. Tanpa sokongan ahli keluarga tersayang dan terdekat tidak mungkin mangsa rogol dapat menguasai keadaan dan mengatasi tekanan.

5. Semasa proses penyiasatan dan kehakiman dijalankan, latar belakang dan sejarah negatif mangsa sering di gembar gemburkan oleh peguambela tertuduh dalam usaha untuk "diskredit" mangsa.

6. Ada mangsa rogol yang dirogol semasa umur kanak-kanak dan mereka tidak memahami yang perbuatan tersebut adalah satu jenayah kerana perogolnya adalah orang yang dipercayainya. Perkara tersebut mungkin berulang bertahun-tahun lamanya sehinggalah mangsa menyedarinya atau menemui orang yang boleh dipercayai untuk mengadu. Jika jangkamasa untuk aduan ditetapkan, mangsa-mangsa dalam kategori ini tidak akan dapat pembelaan.

Alasan yang wanita tersalah faham dengan perkara 9 ini tidak dapat diterima. Pihak penggubal sepatutnya membentangkan draf cadangan tersebut kepada pimpinan parti dan muslimat dahulu sebelum membentangkan kepada umum. Sekurang-kurangnya kelemahan-kelemahan yang tidak sepatutnya tidak dilakukan. Akibatnya Kerajaan Terengganu khususnya dan PAS umumnya terdedah kepada tohmahan dan memberi peluang kepada mereka-mereka yang sememangnya menentang hukum hudud dan peluang untuk memburukkan PAS tidak sensitif kepada wanita. Alasan Kerajaan Terengganu bersifat terbuka dalam keadaan ini adalah satu dalih politik yang lemah.







______________________
Terbitan : 18 Jun 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com